Wednesday, September 18, 2019

Penulisan Refleksi bagi Kursus GKK10

September 18, 2019 0 Comments

Penulisan Refleksi bagi Kursus GKK1043 (Kesihatan Diri dan Kecergasan) Kesan Senaman Terhadap Fisiologi Badan Manusia


             Menurut Buku Panduan Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan SEGAK yang dikeluarkan oleh Bahagian Pembangunan Kurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Ujian Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan Untuk Murid Sekolah Malaysia (SEGAK) adalah suatu bateri ujian standard bateri ujian standard kecergasan fizikal atau kemampuan pelajar melaksanakan aktiviti sama ada senaman atau aktiviti seharian serta memastikan keefisyenan sistem badan serta mengukur tahap kecergasan fizikal murid berdasarkan kesihatan. Melalui pelaksanaan ujian ini, tahap kecergasan fizikal seseorang pelajar itu dapat dipastikan, melalui pengumpulan ke atas maklumat hasil pelaksanaan ujian SEGAK yang dilaksanakan mengikut prosedur yang betul. Menurut buku panduan tersebut juga, Ujian SEGAK yang dilaksanakan secara sistematik ini wajib dijalankan sebanyak dua kali setahun mengikut syarat yang telah ditetapkan oleh garis panduan yang dirancang BPK KPM, iaitu pelaksanaan ujian kali pertama atau pre-test, dan pelaksanaan ujian kali kedua atau post-test.  Para pelajar daripada unit Tesl 1 PPISMP Ambilan Jun 2019 telah melaksanakan ujian pre-test SEGAK pada 11 Julai 2019, dan ujian post-test bagi unit ini pula telah dilaksanakan pada 11 September 2019. Di dalam ujian SEGAK, terdapat lima instrumen/komponen yang perlu dilaksanakan para pelajar untuk mendapatkan data yang diperlukan demi menilai kecergasan fizikal diri melalui pengujian ini iaitu ringkuk tubi separa, tekan tubi, jangkauan melunjur, naik turun bangku dan pengiraan Indeks Jisim Badan (BMI).

            Ketika ujian pre-test diadakan, catatan BMI saya ialah 24.3, dengan berat badan sebanyak 57.6 kilogram pada ketinggian 153 cm. Ukuran BMI ini membuktikan saya mempunyai komposisi badan normal bagi individu dengan ketinggian tersebut. (heartfoundation.org). Namun begitu, setelah ujian post-test dilaksanakan, saya mendapati bahawa ukuran BMI saya meningkat sehingga mencapai 25.2. Melalui pengiraan yang saya lakukan menggunakan perisian pengiraan di laman web heartfoundation.org, ukuran BMI ini membuktikan saya telah mempunyai komposisi badan yang tidak normal, dan saya didapati berlebihan berat badan. Hal ini demikian kerana, berat badan saya telah meningkat kepada 59 kilogram, walaupun ketinggian saya mengalami peningkatan sebanyak 0.5 sentimeter. Hal ini demikian kerana, walaupun saya cuba menyeimbangkan diet pemakanan saya mengikut tetapan Piramid Makanan, saya masih lagi mengkonsumsi banyak makanan berlemak dan bergula. Saya juga tidak mengamalkan diet pemakanan yang begitu seimbang, serta tidak mengamalkan regime senaman yang sistematik dan efisyen serta sesuai dengan badan saya, menyebabkan berat badan saya tidak mengalami penurunan, malahan mengalami peningkatan.

Namun begitu, untuk ujian naik turun bangku pula, saya menyaksikan peningkatan daripada pre-test. Pada pre-test, kadar denyutan nadi saya ialah 112 denyutan dalam seminit, manakala pada pelaksanaan post-test, kadar denyutan nadi saya menurun kepada 93 denyutan dalam seminit. Melalui penurunan kadar denyutan nadi ini, dapatlah dirumuskan bahawa kadar metabolisma saya meningkat, stamina saya meningkat dan saya dapat bernafas dengan lebih baik. Menurut buku panduan SEGAK KPM, ujian naik turun bangku dilaksanakan dengan tujuan menguji daya tahan kardiovaskular saya, dan ini membuktikan bahawa keupayaan sistem respirasi saya untuk membekalkan oksigen kepada tubuh ketika melaksanakan aktiviti fizikal bertambah baik.

Ujian tekan tubi pre-test saya menyaksikan saya berjaya melakukan sebanyak 33 kali, namun ketika saya melaksanakan tekan tubi ketika ujian post-test, saya hanya mampu melakukan tekan tubi sebanyak 29 kali. Tujuan ujian tekan tubi dilaksanakan adalah untuk mengukur daya tahan otot dan bahu. Melalui pengujian ini, saya terbukti mengalami pengurangan dari segi daya tahan otot dan bahu saya, dan hal ini membuktikan kekuatan otot biceps dan triceps saya semakin lemah. Hal ini demikian kerana saya kurang melaksanakan latihan untuk meningkatkan daya tahan otot saya, justeru menyebabkan ia mengalami pengurangan.

Pada ujian pre-test, saya telah mendapat keputusan ujian jangkauan melunjur sehingga 36.5 cm. Pada ujian post-test pula, saya telah mencapai keputusan 42.5 cm. Data ini menyaksikan peningkatan dari segi fleksibiliti saya. Saya mendapati hal ini berlaku kerana saya kerap mengamalkan senaman yang meningkatkan fleksibiliti seperti regangan dan senamrobik.

Bagi ujian ringkuk tubi separa, saya menyaksikan berlakunya peningkatan daripada 14 (pre-test) kepada 16 (post-test). Ujian ini dilaksanakan untuk menguji daya tahan dan kekuatan otot abdomen. Hal ini mampu dilaksanakan kerana saya ada melakukan senaman yang membantu menguatkan otot abdominal saya. Namun begitu, kerana saya tidak melakukannya secara konsisten dan secara sporadikal (tidak dirancang) serta hanya melakukannya sekali-sekala, saya hanya menyaksikan sedikit peningkatan dari aspek ini.

Setelah selesai ujian SEGAK, kami melaksanakan satu lagi ujian lain iaitu Bleep TestFungsi ujian ini adalah untuk memerhati peningkatan dari segi data tahan kardiovaskular serta pengambilan oksigen maksimum (maximum oxygen uptake) oleh seseorang individu (beepfitness.com). Ketika pre-test, saya hanya mencapai tahap (level) 2.8. di dalam ujian tersebut. Namun, ketika ujian post-test, saya mencapai tahap 3.3 bagi pelaksanaan Bleep Test bagi waktu ini. Hal ini berlaku kerana saya semakin kerap melaksanakan aktiviti berjoging dan mendaki bukit ketika saya mempunyai waktu lapang di hujung minggu. Namun begitu, kerana saya sememangnya tidak aktif secara fizikal di sekolah menengah, dan hanya mula melaksanakan dua aktiviti secara kerap bermulanya tahun ini, hal ini tidak mendatangkan impak yang besar kepada saya, walaupun ada peningkatan bagi diri saya dari aspek ini.

Rumusan

Adalah wajar dikatakan bahawa kecergasan fizikal saya tidak konsisten dari semua aspek. Saya mungkin mengalami peningkatan dari aspek A, misalnya, tetapi saya mengalami penurunan pada aspek B. Hal ini demikian kerana saya tidak mengawal diet pemakanan dan tidak menetapkan sistem senaman yang efisyen bagi diri saya.

More blog templates @soratemplates